Wednesday, January 7, 2009

PROJEK TANAMAN SERAI

Selain ternakan cacing kami juga memperuntukkan sejumlah modal bagi memulakan Projek Tanaman serai Peha Ayam secara contract farming dengan CWA Lemongrass Sdn bhd. Projek ini dijalankan di sebidang tanah berkeluasan 1 ekar di Mukim Mengkuang Bukit Mertajam Penang.

Projek tanaman serai dipilih oleh ahli syarikat memandangkan kos permulaan projek yang tidak terlalu besar dan dianggarkan diantara RM5000-RM7000 untuk seekar, kos yang dianggarkan ini sehinggalah hasil dituai. Bagaimanapun kos pusingan kedua akan berkurangan 30% kerana kerja-kerja penyediaan tapak tidak lagi diperlukan seperti pemasangan paip air serta pagar tanaman.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana memberi bantuan untuk kerja membajak tanah, serta ribuan terima kasih kepada ahli syarikat yang banyak menyumbang masa dan tenaga bagi memastikan projek berada ditahap ini.

Kerja-kerja tanah telah bermula awal September 2008 lagi dan baru sahaja selesai kerja-kerja penanaman pada hujung Disember 2008. Kelewatan projek ini disebabkan beberapa masalah teknikal tetapi berjaya diselesaikan dengan kesabaran serta kesungguhan ahli.

Hasil dijangka akan di pungut pada bulan Jun 2009, dalam tempoh ini banyak kerja-kerja lain seperti merumput serta membaja perlu dijalankan bagi memastikan serai yang ditanam mengikut saiz yang diperlukan.

Kerja memasang pagar telah dijalankan serentak dengan kerja penanaman serai, ini bagi memastikan tanaman tidak diganggu oleh binatang ternakan. Kos yang dianggarkan sejumlah RM1000-RM1500 termasuk kos pekerja.Setakat ini syarikat hanya menggunakan pekerja secara kontrak dibayar mengikut bilangan jam bekerja disebabkan syarikat ini masih baru serta kurang berkemampuan dalam soal penggajian.

Diharapkan dengan projek perintis kami ini Tahun 2009 akan membuka lebih peluang kepada kami untuk mendapatkan sebarang bantuan baik dari segi modal mahupun sokongan dari mana-mana agensi bagi memastikan syarikat ini terus berkembang.

Konsep syarikat ialah untuk mempelbagaikan cabang perniagaan bagi memastikan risiko berkurangan serta pulangan yang lebih konsisten melalui projek yang berlainan.

Untuk ladang berkeluasan 1 ekar jumlah berat serai yang dihasilkan dianggarkan diantara 10 ke 15 tan.Kami juga masih baru dalam teknik penjagaan serai, diharapkan ada agensi kerajaan dapat membantu untuk memberi khidmat sokongan kepada kami.

No comments:

Post a Comment

KONGSI SEGALA IDEA SERTA CADANGAN ANDA